Khamis, 30 Jun 2011

Sunnatullah atau Hukum Allah

Sunnatullah itu ialah Peraturan Allah atau Hukum Allah yang telah ditetapkan sejak Azali dan tidak akan berubah.

Dalil Naqli: Sesungguhnya kamu tidak akan mendapati apa yang disunnahkan Allah itu berubah. Sekali-kali kamu tidak akan mendapati apa yang telah disunnahkan oleh Allah itu bertukar ganti. (Fatir: 43)

Dalil Aqli: Sunnatullah itu juga ialah hukum alam seperti air mendidih pada suhu 100 darjah celcius, membeku pada 0 darjah celcius etc. Hukum alam ini juga tidak pernah berubah kecuali pada ketika yang sangat istimewa (api menyejuk kerana firman Allah untuk Nabi Ibrahim AS)

Kenapa mengetahui Sunnatullah ini penting? Apabila kita mengetahui sesuatu peraturan itu, barulah kita boleh mengikut peraturan itu. Contohnya peraturan ciptaan manusia iaitu lampu merah tanda berhenti. Kalau tak tahu dan tak ikut akan kemalangan.

Sunnatullah#1Yang sukar itu tinggi nilainya

Apa maksud sunnatullah ini? Maksudnya ada 2. Maksud yang pertama ialah kalau kita nakkan sesuatu yang tinggi nilainya kita hendaklah membayarnya dengan harga yang mahal. Di dunia ini kita percaya rumah banglo itu harganya lebih mahal dari rumah pangsa. Kenapa kita tak mahu percaya istana di akhirat yang besarnya melebihi 7 petala langit dan 7 petala bumi dan tidak akan rosak itu mahal harganya dan perlu di bayar untuk dimiliki?

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah ( At-Taubah:111)

Maksud yang kedua ialah Allah akan menaikkan darjat mereka yang berjaya melakukan sesuatu yang sukar. Melakukan solat tahajud pada tiap-tiap malam adalah sesuatu yang sukar. Berpuasa sunat pada hari Isnin, Khamis dan hari yang afdal juga adalah sesuatu yang sukar. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan berjaya melakukan dua perkara yang sukar ini, Insya Allah tuan-tuan dan puan-puan akan dikasihi oleh Allah. 

Berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis dituntut kerana:

1. Hari lahir Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin
2. Amalan kita dibawa mengadap Allah oleh malaikat selepas waktu Asar pada hari Isnin dan Khamis
3. Quran mula-mula diturunkan pada 17 Ramadhan iaitu pada hari Isnin

Sunnatullah#2


Allah SWT itu Qun Fayaqun
Manusia itu Usaha, Doa, Ikhlas, Tawakal dan Istiqomah
  
Maksud Sunnatullah ini ialah Allah itu Maha berkuasa. Apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah itu, Allah sekadar berkata Qun (jadi) lalu Fayaqun (jadilah). Makhluk itu pula langsung tidak mempunyai kuasa. Kekuasaan makhluk itu sekadar yang diizinkan oleh Allah SWT. Hakikatnya makhluk yang ada kuasa itu sebenarnya tidak memiliki sebarang kekuasaan.




Maksudnya : Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah.


Kalimah Toyyibah yang indah
Dibaca saat hati merasa gundah
Menyedarkan diri kita
Bahawa sesungguhnya DIA lah Yang Maha Kuasa
Tiada Yang Lebih Berkuasa Selain DIA!!!

Sebenarnya Allah tidak memerlukan kita (umat Nabi Muhammad SAW) untuk memartabatkan agama Islam di muka bumi ini. Tetapi kenapa kita dipilih untuk menjalankan usaha dakwah ini? Jawapannya ialah untuk kebaikan kita. Allah ingin mengangkat darjat kita dan memberi kita pahala yang banyak. Manusia pula kerana bersifat lemah perlulah berusaha, berdoa, ikhlas (niat), bertawakal dan istiqomah sebelum sesuatu itu membuahkan hasil.


Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman? (99) Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah (melalui undang-undang dan peraturanNya) dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya). (100)  (Yunus 10:99-100) 

Sudah menjadi Sunnatullah orang yang membuat kerja dakwah itulah yang mendapat paling banyak pahala dan mereka jugalah orang yang paling banyak diuji. Contohnya Nabi Ulul Azmi.

Nabi yang mendapat julukan Ulul Azmi ialah nabi/rasul yang memiliki ketabahan yang luar biasa dalam menjalankan kenabiannya :
1. Muhammad SAW
2. Ibrahim AS
3. Musa AS
4. Nuh AS
5. Isa AS


Sunnatullah#3 Allah SWT akan menyelamatkan kekasihnya tanpa dipinta 


Sunnatullah itu mempunyai sistem ranking. Sunnatullah yang lebih tinggi rankingnya akan mengambilalih Sunnatullah yang mempunyai ranking yang lebih rendah.

Contohnya Sunnatullah#3 ini telah mengambilalih Sunnatullah hukum alam semasa Nabi Ibrahim AS ingin dibakar oleh Raja Namrud. 


Keputusan mahkamah telah dijatuhkan. Nabi Ibrahim harus dihukum dengan membakar hidup-hidup dalam api yang besar sebesar dosa yang telah dilakukan. Persiapan bagi upacara pembakaran yang akan disaksikan oleh seluruh rakyat sedang diaturkan. Tanah lapang bagi tempat pembakaran disediakan dan diadakan pengumpulan kayu bakar dengan banyaknya dimana tiap penduduk secara bergotong-royong harus mengambil bahagian membawa kayu bakar sebanyak yang ia dapat sebagai tanda bakti kepada tuhan-tuhan persembahan mereka yang telah dihancurkan oleh Nabi Ibrahim AS.

Berduyun-duyunlah para penduduk dari segala penjuru kota membawa kayu bakar sebagai sumbangan dan tanda bakti kepada tuhan mereka. Di antara terdapat para wanita yang hamil dan orang yang sakit yang membawa sumbangan kayu bakarnya dengan harapan memperolehi barakah dari tuhan-tuhan mereka dengan menyembuhkan penyakit mereka atau melindungi yang hamil di kala ia bersalin.

Setelah terkumpul kayu bakar di lapangan yang disediakan untuk upacara pembakaran dan tertompok serta tersusun laksana sebuah bukit, berduyun-duyunlah orang datang untuk menyaksikan perlaksanaan hukuman atas diri Nabi Ibrahim AS. Kayu lalu dibakar dan terbentuklah gunung berapi yang dahsyat yang sedang berterbangan di atasnya berjatuhan terbakar oleh panasnya wap yang ditimbulkan oleh api yang menggunung itu. Kemudian dalam keadaan terbelenggu, Nabi Ibrahim AS dilemparkan dari atas sebuah gedung yang tinggi. Dilemparkanlah baginda ke dalam tumpukan kayu yang menyala-nyala itu. Jibrail turun kepada baginda lalu menawarkan untuk menyelamatkan baginda. Nabi Ibrahim AS bertanya kepada Jibrail adakah penawaran itu atas perintah dari Allah SWT atau dari kehendak dirinya sendiri? Jibrail mengatakan bahawa penawaran itu adalah atas kehendak dirinya sendiri. Maka Nabi Ibrahim AS pun menolak tawaran Jibrail tersebut.

Nabi Ibrahim AS telah redha dengan ketentuan Allah SWT ke atasnya. Sekiranya Allah SWT inginkan baginda mati, matilah baginda. Sekiranya Allah SWT inginkan baginda selamat, selamatlah baginda. Baginda lalu berdoa kepada Allah SWT seperti berikut: "Hasbiyallah Wanikmal Wakil" yang membawa maksud "Cukuplah ALLAH sebagai penolongku."

Ketika Nabi Ibrahim AS dilemparkan ke dalam api, Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!. Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya). (21:69-70)

Sunnatullah#4 Ujian terbesar untuk mereka yang hebat dan kuat ialah ujian daripada penyakit sombong

Cuba kita perhatikan Iblis yang telah gagal dengan ujian kehebatan dan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sebelum dilaknat oleh Allah SWT sebagai Iblis, nama Iblis ialah Azazil. 

Perhatikan kisah berikut:
Azazil bukanlah malaikat, ia adalah iblis yang asalnya dari golongan jin yang kuat beribadat.
Al-Kahf [50] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…
Iblis pada mulanya bernama Azazil dan tinggal di bumi. Azazil adalah jin yang taat kepada Allah. Dia menyembah Allah selama 1000 tahun, lalu Allah swt mengangkatnya ke langit pertama. Di langit pertama, Azazil beribadah menyembah Allah swt selama 1000 tahun. Kemudian dia diangkat ke langit kedua. Begitu seterusnya hingga akhirnya dia diangkat menjadi imam kepada para malaikat. Apa pun perintah Allah kepada malaikat juga adalah perintah baginya, kerana dialah imam para malaikat yang memimpin malaikat.
Azazil adalah imam kepada kepada seluruh malaikat. Ibadahnya kepada Allah banyak. Ada riwayat yang menyatakan Azazil beribadah kepada Allah selama 80,000 tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak dijadikan tempat sujudnya ke hadrat Allah.
Dalam satu riwayat menceritakan, akan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat satu suratan berkenaan :
“Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”
Maka menangislah Israfil kerana bimbang makhluk yang tersurat di Loh Mahfuz itu adalah dirinya. Maka diceritakanlah Israfil kepada segala malaikat pengalamannya melihat apa yang tersurat di Loh Mahfuz. Maka menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang nasib mereka. Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi imam kepada para malaikat, agar Azazil akan mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat. Azazil pun mendoakan keselamatan di dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat dengan doa :
“Ya Allah, Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)”
Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. Selepas mendoakan kesemua para malaikat, Azazil terus menuju ke syurga. Di atas pintu syurga, Azazil terlihat suratan yang menyatakan :
“Ada satu hamba dari kalangan hamba-hamba Allah yang muqarrabin yang telah diperintahkan Allah untuk membuat satu tugasan, tapi hamba tersebut mengengkari perintah Allah. Lalu dia tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat”
Lalu Allah Menciptakan Adam a.s., dan memerintahkan malaikat untuk sujud menghormat kepada Adam a.s. Azazil, sebagai imam para malaikat, sepatutnya lebih dahulu bersujud memimpin para malaikat. Tetapi, dia menolak, kerana dia merasa bahawa dirinya lebih baik dari pada Adam. Sementara para malaikat lain terus sujud tanpa dipimpin oleh Azazil.
Bukan sahaja dia enggan sujud, malah sombong dan menjawab kepada Allah :-
Israa [61] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?
Keengganan sujud ini berpunca dari hasad dengki iblis@Azazil, yang irihati apabila Allah hendak melantik nabi Adam sebagai khalifah di bumi kerana ia dijadikan dari api sedangkan manusia dijadikan dari tanah yang busuk dan melekat. Ia derhaka kepada Allah, takabbur dan lupa daratan.
Maka terhalaulah Azazil dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya.
Israa [62] Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya) 

Perhatikan sifat-sifat Azazil dalam kisah berikut:
1. Azazil adalah dari golongan jin. Golongan jin itu dari segi fizikal memang jauh lebih kuat dari manusia: tidak kelihatan oleh manusia, boleh bergerak sepantas kilat, umur 10x-100x lebih panjang dari manusia, lebih kuat fizikal dari manusia dsb.
2. Azazil dilantik menjadi ketua para malaikat. Ini menyebabkan ia merasa hebat.
3. Azazil tidak berdoa kepada Allah SWT agar dirinya selamat.

Sebenarnya Sunnatullah#5 KELEMAHAN=KEKUATAN dan KEKUATAN=KELEMAHAN. Manusia yang kelihatan lemah fizikalnya itulah sebenarnya yang kuat akal fikirannya sehinggakan 313 dari golongan manusia telah dilantik menjadi rasul dan 124,000 dari golongan manusia telah dilantik menjadi nabi. Sedangkan jin yang kuat fizikalnya dan lemah akalnya tiada yang dilantik menjadi rasul dan nabi.

Qarun, manusia yang paling kaya pada zamannya enggan mengeluarkan zakat lalu diazab Allah SWT dengan ditelan bumi.

Firaun, manusia yang paling berkuasa pada zamannya mengaku dirinya tuhan dan enggan beriman kepada Allah SWT lalu diazab Allah SWT dengan ditelan laut.

Namrud, manusia yang paling berkuasa pada zamannya dan ingin membakar kekasih Allah SWT Nabi Ibrahim AS, enggan beriman kepada Allah SWT lalu diazab oleh Allah SWT dengan nyamuk, iaitu selemah-lemah makhluk.

Sebenarnya untuk selamat dari penyakit sombong ini mudah sahaja. Kita perlulah melihat kedalam diri kita ini lalu mencari sekurang-kurangnya satu kelemahan diri kita. Kemudian perbanyakkanlah istighfar kepada Allah SWT kerana kita telah melakukan dosa atas kelemahan yang ada pada diri kita tersebut.

3 ulasan:

  1. Assalam...SDR irwan..

    Tulisan yg Sgt baik mengenai makna sunatullah... semuga kebaikkan tuan Akan dibalas dgn kebaikkan yg berlipat Kali Ganda terima nebuliser wassalam


    BalasPadam
  2. Salam sejahtera.
    Atas Nama Allah, Tuan Yang Maha Pemurah dan Penyayang.

    Hanya sedikit ulasan dalam penulisan ini. Percubaan yang baik. Mari sama-sama revisi supaya lebih mantap. Berdasarkan Al-Quran (satu-satunya kitab yang mudah dan jelas bacaannya).
    Tenangkan diri dan mari baca.

    1. Fakta sains. Hukum ilmu pengetahuan itu tidak akan berubah. Kenapa menjadi kisah magis tentang Nabi Ibrahim itu? Bukankah itu kisah perumpamaan (Mutasyabihat)? Iaitu ketika Ibrahim diutus untuk menyebarkan sistem kepatuhan kepada satu Tuhan lalu ditentang oleh kaumnya yang zalim (dibakar oleh api). Oleh kerana kesabarannya, Ibrahim "disejukkan oleh api yang membakar". 21:69

    2. Urusan jual beli dengan Allah. Allah akan beli harta dan jiwa bagi orang yang percaya. Bukanlah seperti kisah doktrin, kita mengikat perjanjian semasa di alam azali. Kitab yang nyata untuk dunia yang nyata. Surat yang dinyatakan tidak menyeluruh.

    3. Kunfayakun. Bukanlah proses magis. Seperti mengatakan "sim salabim" pufffff terjadilah sesuatu. Pemahaman yang agak tragis jika difikirkan. Menurut ilmu-Nya, bila dinyatakan kun fayakun, maka terjadilah ia dengan proses. Contoh, benih pokok, ditanam tanah, disiram dengan air, dibaja lalu tumbuhlah pokok itu mengikut masa dan turutan.

    4. Umat Muhammad sudah digenapi. Bangsa Arab sudah menemui penamat. Digilirkan kepada bangsa lain pula pada ketika ini. Tradisi Allah. 10:49

    5. Paling sensitif tapi perlu dinyatakan, Ibrahim adalah satu-satunya kesayangan Allah.

    4:125
    وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

    Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya.

    Sekian sahaja. Semoga maju jaya, sahabat.

    BalasPadam